DIARI SEORANG GURU PRASEKOLAH

Perkongsian ilmu dan pengalaman mendidik kanak-kanak

Archive for the ‘Perayaan di Malaysia’ Category

Oct
01

Hari Raya Prasekolah 2010

Posted by mshalim

Ramadhan Al Mubarak telah berlalu dan Syawal yang mulia kini tiba…hari yang dinanti oleh semua umat Islam di seluruh dunia…tidak ketinggalan juga murid-murid prasekolah ku ini….

Setelah berhari raya bersama keluarga, sekembalinya ke sekolah aktiviti hari raya untuk kanak-kanak ini telah pun dirancang….(31 September 2010) Aktiviti berhari raya dari rumah ke rumah setiap murid prasekolah…Setiap murid terlibat dalam aktiviti ini…

Dan yang penting sekali, objektif utama aktiviti ini diadakan adalah supaya warga prasekolah dapat bermaaf-maafan di samping mengeratkan lagi silaturrahim. Murid-murid juga diterapkan dengan nilai-nilai murni seperti adab ketika menziarahi dan hormat menghormati.

Gambar-gambar ini akan saya abadikan di sini untuk kenangan bersama :

SELAMAT HARI RAYA

MAAF ZAHIR DAN BATIN

dari kami

warga PRASEKOLAH SK Parit Serong

Share/Save/Bookmark

Tags:
Feb
26

Maulidur Rasul

Posted by mshalim

Maulidur Rasul (dalam bahasa Arab bermaksud kelahiran Rasul) adalah hari bersejarah keputeraan Nabi Muhammad. Hari ini jatuh pada hari ke-12 bulan Rabiul Awal sempena kelahiran Nabi yang jatuh pada pada hari Khamis 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan dengan 23 April 571. Baginda adalah nabi terakhir yang diutus oleh Allah Subhanahu Wataala. Tapak kelahiran baginda pula kini mempunyai satu bangunan kecil yang dikenali sebagai Maulid Nabi.

Setiap tahun pada hari itu, umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad s.a.w dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya. Banyak kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wataala kepada mereka yang dapat mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul.

Kita dapat lihat betapa besarnya kelebihan orang yang memuliakan majlis keputeraan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kerana bila berniat sahaja hendak mengadakan Maulud Nabi, sudah pun dikira mendapat pahala dan dimuliakan. Sememangnya bernazar untuk melakukan sesuatu yang baik merupakan doa dan dikira amal salih.

Jelas kepada kita bahawa pembalasan Allah Subhanahu Wataala terhadap kebaikan begitu cepat sehinggakan terdetik sahaja di hati hendak berbuat kebaikan, sudah Allah Subhanahu Wataala akan memberi pembalasan yang tiada ternilai. Seseorang yang beriman, kuat bersandar kepada Allah, ketika di dalam kesusahan dia tetap tenang dan hatinya hanya mengadu kepada Allah dan mengharapkan pertolongan dan kasih sayang Allah Subhanahu Wataala.

Keberkatan mengadakan Majlis Maulud itu bukan sahaja didapati oleh orang yang mengadakan majlis itu, tetapi seluruh ahli rumah atau orang yang tinggal di tempat itu turut mendapat keberkatannya.

Sumber : Wikipedia

Share/Save/Bookmark

Tags:
Feb
15

Selamat Tahun Baru Cina 2010

Posted by mshalim

Tahun Baru Cina merupakan perayaan terpenting orang Cina bagi menyambut tahun baru dalam kalendar qamari Cina. Kalendar qamari Cina terbahagi kepada kitaran 12 tahun dan dinamakan sempena nama haiwan.

Tahun Baru Cina melambangkan permulaan, titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Sebelum hari tahun baru bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul. Rumah akan dicuci dan segala hutang-piutang dikutip atau dibayar agar mereka tidak sentiasa dikelilingi hutang sepanjang tahun yang baru. Mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru dan bagi menghalau puaka dan nasib malang. Rumah-rumah dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki, bunga dan pokok limau.

Tahun Baru Cina diraikan dengan jamuan yee sang dan kuih bakul. Kaum keluarga akan makan besar dengan masakan tradisi seperti daging itik, daging salai, sosej, kuih pulut, dan limau mandarin. Golongan muda pula akan melawat golongan tua dan menerima wang ang pau dalam sampul merah bagi melambangkan nasib baik, yang diberikan oleh orang yang berkeluarga kepada mereka yang masih belum kahwin. Perarakan tarian naga atau singa akan diadakan, dengan kereta berhias yang diiringi bunyi gendang. Lima belas hari selepas perayaan Tahun Baru Cina, perayaan Tahun Baru Cina ditamatkan dengan perayaan Chap Goh Mei.

Tahun Baru Cina bukan sahaja diraikan oleh kaum Cina di merata dunia, malah turut dirayakan oleh bangsa Korea, Vietnam, Mongol dan Miao (Hmong China) yang dipengaruhi oleh China dari segi kebudayaan dan keagamaan, maka turut memakai kalendar qamari Cina.

Sumber : Wikipedia

Share/Save/Bookmark

Tags:
Nov
27

Hari Raya Aidil Adha 2009

Posted by mshalim

Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Haji merupakan perayaan yang dirayakan di seluruh dunia. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Aidiladha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah.

Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan ke-sabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t.

Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.

Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.

Hari Raya Korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir pada kalender Hijrah Islam. 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah.

Sumber : wikipedia

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada semua warga Malaysia…

Share/Save/Bookmark

Tags:
Oct
17

Hari Deepavali

Posted by mshalim

17 Oktober 2009 adalah cuti umum di Malaysia sempena sambutan Hari Deepavali. Kanak-kanak prasekolah juga bercuti pada hari ini, begitu juga dengan saya :-)

Berikut adalah serba sedikit tentang Hari Deepavali…

Masyarakat Hindu menyalakan pelita sebagai tanda simbolik yang menyatakan kebaikan akan mengatasi kejahatan.

Hari Deepavali (bahasa Hindi: दिपावली , bahasa Tamil: தீபாவளி) juga dikenali sebagai Diwali dan Divali (bahasa Hindi: दीवाली ) merupakan perayaan yang disambut oleh semua penganut yang beragama Hindu di seluruh dunia.

Perkataan Deepavali merupakan gabungan perkataan “Dipa” yang beerti cahaya dan perkataan “Gavali” yang beerti barisan. Perayaan Deepavali ini disambut pada hari ke 14 bulan Aipasi dalam kalendar Tamil (antara bulan Oktober dan November) dan juga dikenali sebagai pesta cahaya.

Menurut lagenda, Raja Naragasura yang kejam dan selalu memeras rakyatnya, telah dikalahkan dan dibunuh oleh Maha Krishnan. Sebelum mati, Raja Naragasura meminta semua manusia agar mereka merayakan hari kemenangan itu sebagai peringatan kepada yang mereka yang baik tentang godaan hantu dan syaitan, peringatan kepada mereka yang lupa agar berbuat baik dan menjauhi daripada membuat kejahatan sesama manusia.

PERSIAPAN UNTUK HARI DEEPAVALI

Masyarakat India membuat persiapan yang lebih awal seperti membuat kuih-muih, membersihkan rumah dan membeli pakai baru untuk dipakai pada hari tersebut. Muruku, Neiurundai dan Atherasam merupakan kuih-muih tradisional orang India. Tetapi kini, mereka juga membuat biskut dan kek selain makanan tradisional mereka.

Ronggoli Kolam adalah lukisan di atas lantai yang diperbuat daripada beras berwarna. Selain mencantikkan kawasan hadapan rumah, maksud tersirat di sebalik tradisi ini adalah untuk memberi makan kepada serangga-serangga kecil seperti semut.Ini secara tidak langsung menambah pahala si tuan rumah yang membuat Kolam tersebut. Manakala, lampu-lampu pelita pula dinyalakan pada malam Deepavali.

SEHARI SEBELUM DEEPAVALI

Sehari sebelum perayaan Deepavali, orang yang beragama Hindu akan membuat upacara sembayang untuk memanjangkan doa untuk yang telah ‘pergi’ buat selama-lamanya.

Makanan kegemaran yang telah meninggal dunia selalunya disediakan untuk santapan mereka.Makanan tersebut akan dibiarkan seketika dihadapan gambar si mati yang kemudiannya akan di makan oleh anak-anak si mati atau diberi kepada haiwan.

PAGI DEEPAVALI

Pada pagi Deepavali, masyarakat India akan menggunakan minyak bijian sebelum mandi sebagai tanda simbolik untuk menyucikan diri.Selepas itu, mereka sekeluarga akan berpakaian serba baru dan sembayang. Sejurus itu, anak-anak muda digalakkan sujud di kaki ibu bapa atau orang tua dalam rumah mereka untuk meminta restu.

Pada hari Deepavali, mengikut ajaran agama Hindu, masakan yang dimasak mestilah “vegetarian” hanya makanan yang berasaskan sayur-sayuran (daging tidak digalakkan).Tujuannya adalah untuk mengawal nafsu makan mereka pada hari yang bermakna ini.

Share/Save/Bookmark

Tags: